Monday, June 7, 2010

Elektrik dalam tubuh -PID


RENJATAN elektrik juga boleh dirasakan penghidap penyakit tulang belakang cakera prolaps ketika tubuh berada dalam kedudukan tertentu.


SUFFIAN BAKHTIAR memang terkenal dengan sifat periang dan penuh kejutan oleh rakan-rakannya. Tetapi akhir-akhir ini Suffian, 42, menyedari yang dia memang benar-benar boleh mengejutkan rakannya iaitu dengan kejutan elektrik!

Bukan sekali dua dan bukan seorang dua yang pernah mengadu mereka disengat elektrik ringan kala tersentuh lengannya. Ia dapat dilihat apabila rakannya serta-merta menarik tangan mereka.
Adakalanya Suffian turut merasai renjatan itu apabila rakannya menyentuhnya. Dia juga mengakui pernah mengalami kejutan elektrik apabila menyentuh objek besi di pejabatnya.
Sungguhpun tidak terjadi setiap kali bersentuhan, Suffian mula bimbang apabila anak perempuannya mengadu adakalanya ‘sakit’ saat tersentuh tangannya.
Suffian terfikir apakah yang tidak kena pada dirinya? Adakah ia berbahaya jika dibiarkan?
Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf (Neurosurgeri), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Azmi Alias berkata, memang terdapat sistem elektrik di dalam tubuh manusia. Bahkan, jelasnya, tubuh manusia merupakan sistem elektrik paling canggih dan kompleks berbanding semua perkakasan elektronik di dunia.
Sistem elektrik pada tubuh manusia merujuk kepada pergerakan zarah yang bercas dalam sistem saraf apabila rangsangan diberikan.

Cas
Asasnya, sistem saraf terbentuk daripada neuron-neuron.
Saraf diselaputi membran dan pada dalam serta luar saraf terdapat cecair yang mengandungi bahan bercas. Mineral dalam tubuh, potasium dan sodium misalnya membawa cas positif dan kolorida membawa cas negatif.
“Dalam keadaan normal, cas lebih negatif terdapat di dalam saraf berbanding di luar saraf. Apabila berlaku rangsangan, keseimbangan itu berubah dan cas positif memasuki ke dalam saraf. Daripada reseptor ia dibawa ke otak melalui saraf tunjang dan saraf periferi,” katanya ketika ditemui Jurnal di HKL baru-baru ini.
Berbalik kepada masalah Suffian tadi, Azmi berkata, tubuh manusia merupakan konduktor elektrik dan boleh menjana tenaga elektrik namun pada jumlah voltan yang terlalu kecil.

Tenaga elektrik yang terhasil disebut elektrik statik kerana ia tidak mampu mencetuskan renjatan yang besar seperti barangan elektrik.
“Apabila seorang manusia menyentuh manusia yang lain, manusia yang mempunyai banyak cas negatif akan melantunkan cas negatifnya sekali gus mencetuskan renjatan kecil kepada manusia yang mempunyai cas pada bilangan normal atau kurang negatif.
“Begitu juga jika manusia yang mengumpul banyak cas negatif itu menyentuh objek bukan elektrik yang neutral atau positif seperti besi, dia juga boleh mendapat renjatan elektrik.
“Namun, ini sebenarnya fenomena biasa dan bukannya penyakit. Ia bukan satu kuasa atau ciri seorang adiwira. Ia sebenarnya satu situasi yang berlaku dengan bantuan persekitaran dan tabiat manusia itu sendiri,” ujarnya.

Tabiat dan suhu
Jelasnya, seseorang manusia itu dapat mengumpul lebih banyak cas negatif menerusi tabiatnya seperti gemar melakukan gesekan sama ada ketika berjalan atau duduk.
“Kulit tubuh yang bergesel dengan permukaan seperti kapas boleh menyebabkan cas negatif lebih banyak diperolehi. Ini kerana kulit manusia boleh menghasilkan tindak balas kulit galvanic apabila berlaku aruhan elektrik statik kerana tindakan seperti geselan.

MANUSIA yang memiliki cas negatif berlebihan boleh mencetuskan renjatan elektrik kepada manusia lain ketika bersentuhan.


“Begitu juga tabiat berjalan secara bergesek atau duduk sambil menggosok kaki atau kasut di atas permaidani yang diperbuat daripada kapas,” ujarnya.
“Suhu persekitaran yang lebih sejuk dan lembap juga menggalakkan berlaku aruhan elektrik. Itu sebabnya kejadian ini lebih banyak berlaku di Barat semasa musim sejuk atau di dalam pejabat. Kilat juga berlaku ketika suhu lembap semasa hari hendak hujan,” katanya.
Ditanya mengapa kejadian itu banyak melibatkan kawasan lengan, Azmi berkata, ia mungkin disebabkan di kawasan siku terdapat saraf ulna yang bersifat superfisial kerana tidak terlindung oleh apa-apa otot.
Namun, jelas Azmi, bukanlah bermakna semua renjatan elektrik yang berlaku dalam tubuh badan manusia ialah normal atau bukan penyakit. Terdapat beberapa kondisi penyakit yang juga mampu mencetuskan renjatan seperti elektrik.

Penyakit
Pertama ialah sindrom carpal tunnel yang berlaku apabila berlaku tekanan pada saraf median di pergelangan tangan apabila laluan cas terganggu disebabkan pembesaran tisu. Ia boleh berlaku misalnya ketika seseorang wanita itu mengandung.
“Apabila berlaku keadaan ini, pesakit perlu ke hospital untuk melakukan ujian konduksi saraf di hospital. Jika perlu, pembedahan akan dilakukan.
Penyakit kedua ialah sakit tulang belakang cakera prolaps yang mana ceper tulang belakang yang terkeluar menekan saraf tunjang. Ia boleh menghasilkan renjatan elektrik yang dinamakan radiculopathy pada kedudukan badan tertentu.
“Dalam hal ini, renjatan elektrik biasanya berlaku apabila ceper tulang yang terkeluar menghala ke arah tepi. Jika terkeluar ke belakang atau ke dalam saraf tunjang ia boleh menyebabkan kebas dan lumpuh,” katanya. Jelas beliau, kondisi pergerakan ceper tulang ke tepi masih boleh dirawat dengan ubat.
Selain itu, penyakit yang boleh menyebabkan renjatan elektrik juga ialah trigeminal neuralgia yang disebabkan tekanan pada saraf trigeminal di otak. Ia menyebabkan wajah dirasakan seperti terkena panas atau renjatan elektrik apabila disentuh angin.
Penyakit sawan juga disifatkan sebagai penyakit elektrik kerana ia berlaku disebabkan gangguan pada saraf dalam otak dan mencetuskan reaksi seperti terkena renjatan elektrik.

-artikel ini diambil dari kosmo

Sunday, April 11, 2010

positif positif

kan best kalau positif utk UPT. takpe masa itu akan tiba.

hari ni aku sibuk dok kemas umah. sampai terlupa keadaan sendiri. sudahnya belakang tepi belah kiri aku sakit. menjelang malam makin sakit. aku cepat2 amik hot pack dan tuam. aduyai... besarnyalah dugaanMu ini. apapun aku kena kuat!!!

kena positif!!!!

Friday, April 9, 2010

TANDA TANDA DAH TIBA

agak lama juga Ai tak kena kejang kaki tapi last week sampai dua kali. itu tanda Ai kena bataskan pergerakan.
selain kaki kejang, kawasan belakang sebelah kiri juga terasa sakit dan mencucuk cucuk.

Ai fobia.

Friday, November 13, 2009

HIMPITAN SARAF

artikel ini dipetik dari kosmo 14nov2009

Himpitan saraf

Kebas belakang paha petanda abnormaliti saraf tunjang


HIMPITAN yang berlaku pada dalam atau luar saraf akan memberi impak terhadap postur tubuh, kemampuan anggota tangan dan kaki serta kesakitan semasa berjalan.


KEBAS di bahagian kaki atau belakang paha yang kadang kala melibatkan kawasan pinggul sering sahaja dianggap remeh oleh kebanyakan daripada kita.

Dengan hanya menyapu salap panas atau mengurut, kesakitan dan rasa kebas tersebut hilang seketika, namun ia menyerang kembali tanpa mengira waktu.

Dalam istilah perubatan, kebas atau paresthesia merupakan satu keadaan di mana kawasan pada bahagian anggota badan seperti kaki dan tangan tidak boleh merasa.

Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri (Bedah Otak dan Saraf) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Azmi Alias, keadaan tersebut boleh menjadi lebih teruk sekiranya dibiarkan berlanjutan.

Tekanan terhadap saraf

“Kebas atau rasa mencucuk di bahagian aras pinggang hingga ke bawah merupakan antara simptom awal terhadap abnormaliti keadaan saraf tunjang di dalam tulang belakang,” katanya.

Azmi menjelaskan, gejala tersebut boleh berlaku akibat penyakit berkaitan saraf tunjang dan akar saraf yang secara umumnya dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Extradural (25 peratus), Intradural extramedullary (50 peratus) dan Intradural intramedullary (25 peratus), berdasarkan kepada kedudukannya dengan selaput saraf tunjang atau dikenali sebagai Dura Matter.


DR. AZMI ALIAS


Tekanan terhadap saraf tunjang boleh menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti lemah anggota kaki, hilang keseimbangan semasa berjalan, kebas, hilang kawalan autonomik terhadap pundi kencing dan kesukaran untuk membuang air besar.

“Tekanan terhadap akar saraf pula menyebabkan pesakit berasa sakit di bahagian belakang dan kadangkala renjatan yang menular ke sebelah bahagian peha dan betis,” jelasnya.

Bagi kategori Extradural, ia berlaku akibat penyakit di luar selaput saraf tunjang seperti Spondylosis, cakera (disk) tulang belakang terkeluar (PID), keretakan tulang belakang akibat kemalangan serta ketumbuhan.

“Bagi kategori ini, himpitan terjadi di kawasan luar saraf tunjang. Ini secara tidak langsung akan mengganggu bahagian saraf yang mengawal deria sentuh serta saraf motor,” ujarnya.

Bagi kategori kedua iaitu Intradural Extramedullary, ia berlaku akibat penyakit di dalam selaput dura tetapi di luar saraf tunjang seperti ketumbuhan Meningioma dan Schwannoma.

Bagi kategori ketiga pula, penyakit tersebut melibatkan saraf tunjang itu sendiri seperti ketumbuhan Ependymoma dan Astrocytoma, jangkitan saraf, penyakit vascular, syringomyelia dan demyelination.

Serang tidak kira masa

Menurut Azmi, gejala seperti kebas, rasa mencucuk pada mana-mana anggota tubuh terutama bahagian kaki perlu diambil perhatian oleh orang ramai.

“Malah, lemah anggota tangan atau kaki serta hilang kawalan pundi kencing dan sembelit memberi petanda terdapat masalah berkaitan saraf,” katanya.




Bukan sekadar itu, rasa kebas atau sakit akan timbul dan menjadi lebih teruk apabila melakukan kerja-kerja harian seperti membongkok, mengangkat barang atau keadaan posisi tubuh yang salah.

Tidak terhad di kawasan pinggul dan belakang paha, kesakitan turut merebak di anggota tubuh yang lain atau radiculopathy turut mengganggu keselesaan pesakit.

“Ada keadaan tertentu, pesakit boleh menjadi lumpuh akibat himpitan pada saraf ini,” jelasnya.

Di samping itu juga, kebas pada anggota kaki ini menyerang tidak kira masa. Malah, dalam keadaan tubuh sedang berehat, kebas ini masih terasa.

“Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan gejala kebas seperti arteriosclerosis di mana salur darah di bahagian kaki menjadi lebih sempit menyebabkan pesakit mengalami gejala intermittent claudication termasuk sakit atau kebas di bahagian kaki dan hanya boleh berjalan sehingga beberapa meter sahaja.

Tambahnya lagi, penghidap penyakit kencing manis juga boleh mengalami gejala kebas di hujung jari tangan dan kaki.

Penggantian cakera

Mengenai rawatan, Azmi menjelaskan ia bergantung kepada jenis penyakit dan kerosakan yang berlaku sehingga menghimpit saraf tunjang dan ekor saraf.

“Sekiranya ia melibatkan kehadiran tumor, pembedahan perlu dilakukan bagi membuangnya. Sekiranya ia melibatkan cakera tulang belakang yang terkeluar, pembedahan bagi mengeluarkan bahagian cakera tersebut dan penggantian cakera boleh dilakukan,” katanya.

Tambahnya, ubat penahan sakit dan teknik Traction atau regangan tulang belakang turut dilakukan dalam sesetengah kes PID yang boleh mengurangkan tekanan terhadap akar saraf.

Dalam pada itu, Azmi menjelaskan pesakit perlu berjumpa doktor dan untuk menjalani pemeriksaan fizikal bagi mengetahui keadaan saraf dan kawasan yang terlibat.

“Untuk pemeriksaan tersebut, salah satu caranya ialah penggunaan peta titik saraf sebagai rujukan dan dari situ, pakar dapat mengetahui bahagian sebenar tubuh yang bermasalah,” katanya sambil menunjukkan gambarajah tersebut.

Lanjutan daripada pemeriksaan fizikal, pesakit perlu menjalani ujian imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) di bahagian tulang belakang bagi meneliti secara terperinci struktur saraf tunjang, akar saraf dan anatomi tisu sekelilingnya dengan lebih jelas.

Selain daripada itu, ujian X-ray dan CT Scan juga boleh dilakukan bagi mengetahui keadaan tulang belakang yang secara semulajadi berfungsi melindungi saraf tunjang pesakit.

Tuesday, October 27, 2009

MUKADIMAH

tujuan aku create blog ini adalah untuk berkongsi dengan pembaca tentang prolapsed invertebral disc atau singkatannya PID.

aku sendiri adalah penghidap PID. dalam entri seterusnya akan aku kupas satu persatu.